Wednesday, April 18, 2012

Kerabat Raja Bugis di Perantauan Enggan Guna Gelaran "Andi"?

Dalam masyarakat Bugis gelaran "Andi" di hadapan nama seseorang biasanya membawa erti bahawa orang tersebut berasal dari keturunan bangsawan atau raja-raja Bugis. Namun ramai dari kalangan bangsawan Bugis yang bermastautin di luar Sulawesi Selatan enggan menggunakan gelaran tersebut. 

Ada beberapa sebab mengapa mereka menggugurkan gelaran tersebut dalam dokumen pengenalan diri dan malah tidak mahu rakan-rakan memanggil mereka dengan gelaran tersebut. Antara sebab utama ialah mereka berpendapat bahawa di perantauan gelaran-gelaran kebesaran tidak dapat membantu mereka dalam usaha perekonomian yang merupakan punca utama mengapa mereka merantau. 

"Apalah ertinya gelaran kebesaran itu pada saya, sedangkan saya tetap bekerja sebagai buruh ladang", jelas seorang rakan berketurunan bangsawan Bugis.

Ada juga yang memberitahu bahawa gelaran "Andi" bukanlah suatu gelaran kebesaran yang berasal dari sistem kerabat raja-raja Bugis. Pada mulanya saya meragui pernyataan itu dan hanya meyakininya setelah membaca beberapa tulisan-tulisan berkaitan sejarah masyarakat Bugis, terutama artikel-artikel yang dipetik dari epik La Galigo. Ternyata gelaran itu tidak pernah disebut dalam karya sastera besar berkenaan, malah struktur nama golongan bangsawan dengan orang awam tidak ada bezanya. Yang jelas, ialah perbezaan nama antara lelaki dengan perempuan, dimana nama lelaki kebanyakan bermula dengan "La" manakala nama perempuan bermula dengan "We".

Susan Millar (1) dalam bukunya Bugis Weddings menyebut bahawa gelaran "Andi" kepada bangsawan Bugis bermula ketika penjajah Belanda berusaha memperbaiki hubungan dengan golongan bangsawan Bugis dalam tahun 1910-1920an, dengan cara mengecualikan mereka daripada kerja paksa. Dengan itu timbullah isu bagaimana menentukan bahawa seseorang itu berketurunan bangsawan atau tidak. Akibatnya, berbondong-bondonglah warga mendatangi raja dan memohon untuk mendapat pengiktirafan sebagai keturunan bangsawan.

Kerana rumitnya proses itu maka dibuatlah sebuah gelar baru untuk menentukan kebangsawanan seseorang dengan derajat yang lebih rendah dan digunapakailah kata Andi untuk menunjukkan kebangsawanan seseorang dalam bentuk perakuan bertulis. 

Dalam proses ini, tentunya ramai dari kalangan kerabat raja sendiri yang "matanre sirri" (tidak suka membanggakan diri) yang enggan untuk meminta pengiktirafan bertulis itu dari raja. Disamping itu, orang Bugis pada umumnya amat kuat menentang pengaruh luar, dan kerana gelaran itu ada hubungkaitnya dengan kuasa penjajah Belanda, maka mereka enggan bekerjasama atau menerima gelaran tersebut. Namun, di kalangan warga, mereka mengetahui orang-orang disekitar mereka yang benar-benar berketurunan bangsawan walau tanpa perakuan bertulis.

Masyarakat Bugis dari segenap pelusuk negeri-negeri
di Malaysia berdiri menyanyikan lagu Negaraku dan 1Malaysia
sempena perasmian PRBM Selangor di Pendamaran pada 15 April 2012.
Ramai di kalangan yang hadir adalah asli keturunan Saweregading
namun enggan memakai sebarang gelaran kebesaran pada nama mereka.
(foto oleh: Sainal Abidin Hasan)
Maka tidak hairanlah bila Allahyarham Jendral Muhammad Yusuf enggan menggunakan gelaran itu, walaupun orang ramai tahu jelas bahawa beliau adalah keturunan langsung Saweregading. Demikian juga halnya dengan Yusuf Kalla yang enggan menggunakan gelaran "Andi" meskipun umum mengetahui bahawa beliau adalah keturunan La Patau.


Gelaran-gelaran kebangsawanan yang sudah wujud dan biasa di pakai di kalangan orang Bugis sebelum campurtangan Belanda ialah “Datu” yang sudah ada sejak wujudnya kerajaan Bugis  di Luwu dimana semua raja bergelar Datu. Di kalangan Datu terdapat pula seorang yang paling dihormati dan dimuliakan oleh Datu-Datu lainnya dan diberi gelaran Pajung


Di Bone, semua raja bergelar Arung, dan arung yang paling dihormati dan dimuliakan bergelar Mangkau. Begitu juga di Makassar atau Gowa, semua bangsawan atau raja-raja bergelar Karaeng, hanya yang menjadi raja di Gowa yang bergelar Sombaiya.


Gelar kebangsawanan lainnya adalah berdasarkan kepada tangga struktur 'pengadereng' (pemerintahan) yang dikuasai oleh seseorang pemimpin misalnya Sulewatang, Arung, Petta dan sebagainya. Gelaran umum yang digunapakai untuk keturunan atau kerabat raja tetapi tidak menduduki sebarang tempat dalam struktur pemerintahan negeri ialah Karaeng bagi etnik Makassar dan Puang bagi kebanyakan etnik Bugis melainkan bagi etnik Luwu yang menggunakan gelaran Opu.

Dikatakan orang yang pertama menggunapakai gelaran Andi ialah Andi Mattalatta untuk membezakan antara pelajar dari turunan bangsawan dan rakyat biasa.


(1) Millar, Susan Bolyard, 1989, Bugis Weddings: Rituals of Social Location in Modern Indonesia . Center for South and Southeast Asia Studies, monograph no. 29. Berkeley: University of California.

No comments:

Post a Comment